4 Faktor Penting Dalam Memilih Destinasi Bulan Madu

4 Faktor Penting Dalam Memilih Destinasi Bulan Madu
Setiap individu pastinya mempunyai destinasi impian untuk berbulan madu dengan pasangan yang tercinta.  Tempoh berbulan madu merupakan tempoh suai kenal dengan lebih rapat lagi bersama pasangan. Destinasi berbulan madu memainkan peranan penting bagi merakam memori indah pasangan pengantin baru. Oleh  pasangan pengantin baru tidak boleh salah pilih destinasi bulan madu kalian.
Pemilihan destinasi bulan madu perlu mengambil kira beberapa faktor seperti:
Kewangan
Setiap pasangan perlu peka dengan status kewangan masing-masing. Jika simpanan tidak terlalu banyak, adalah lebih baik jika berbulan madu di dalam negara sahaja. Di Malaysia juga terdapat banyak tempat-tempat menarik sama ada di kawasan tanah tinggi dan di pulau yang sesuai dijadikan destinasi berbulan madu. Namun begitu, berbulan madu di luar negara juga tidak mustahil. Ini kerana jika kamu membuat perancangan awal dan membuat tempahan penerbangan awal, kamu boleh mendapat harga yang lebih jimat. Dan lokasi yang sesuai adalah Indonesia dan Thailand iaitu negara yang mempunyai nilai matawang lebih rendah benbanding Malaysia.
Minat
Setiap pasangan perlu berbincang untuk memilih destinasi bulan madu. Memandangkan setiap individu mempunyai kecenderungan  terhadap lokasi bulan madu, maka salah seorang perlu bertolak ansur.  Jika kamu seorang yang mencintai alam, destinasi yang mungkin menjadi pilihan untuk berbulan madu ialah di kawasan tanah tinggi. Jika kamu seorang yang romantik, destinasi yang menjadi pilihan kamu mungkin di pulau. Jika kamu seorang yang suka mengembara, kamu mungkin memilih destinasi seperti bandar, kawasan pergunungan atau kawasan yang jarang di lawati oleh pasangan pengantin baru yang lain.
Tempoh
Berapa lama kamu diberi pelepasan dari kerja untuk berbulan madu? Jika dua ke tiga hari, kamu tidak digalakkan memilih destinasi berbulan madu di luar negara. Kamu hanya akan menghabiskan masa kamu di dalam penerbangan dan ‘jetlag’. Jika kamu bercadang untuk berbulan madu keluar negara, pastikan kamu mendapat pelepasan dari kerja lebih daripada seminggu. Tempoh ini cukup untuk kamu berehat dan berseronok.
Masa
Bila kamu akan berbulan madu? Kamu harus bijak memilih waktu. Jika kamu memilih bulan November dan Disember untuk berbulan madu di pulau sebelah pantai timur, ianya bukanlah satu idea yang bagus kerana waktu ini adalah musim tengkujuh. Kamu perlu mencari tahu tentang musim di tempat kamu ingin berbulan madu itu.
Destinasi berbulan madu seharusnya menjadi destinasi yang tidak akan pernah kamu lupakan. Namun begitu, rancanglah bulan madu mengikut kemampuan bukan mengikut minat semata-mata.




Ulasan